Tuesday 20 March 2012

Doa Menduduki Peperiksaan

Assalamualaikum. 

Kepada para pelajar yang dikasihi, jika anda masih tercari-cari doa yang harus dibaca sebelum, semasa dan sesudah peperiksaan tetapi masih tidak menjumpainya, jangan gusar. Dibawah ini ada beberapa jenis doa yang boleh diamalkan.

Doa sebelum mengulangkaji pelajaran:
Allahummar zuqna, Ya Rabbi fahaman nabiyyiin, wa hifzaal mursaliin, wa 'ilhaamal malaikatiil muqarrabbin, fii 'aafiyaati, ya Arhamar raahimiin

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu, juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih" 

Doa sebelum masuk dewan peperiksaan:
Wa hai yi' lanaa min amrinaa rashadaa
Maksudnya: Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu

Doa lupa semasa menjawab soalan:
Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu Allahumma zakkirnii maa nasiit (dibaca 3 kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa

Doa memohon kejayaan cemerlang - dibaca sebelum tidur setiap hari sehinggalah keputusan peperiksaan diumumkan. 
Allahumma inni as-alukal fauza 'indal qadha wa manaazilasy syuhada wa 'ai syas su 'a da' wan nasra alaal a'daa'

Maksudnya: Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada' dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh

"Menjunjung Tinggi Martabat Mahasiswa"

Thursday 15 March 2012

Tips Menghadapi Peperiksaan


Assalamualaikum.

Peperiksaan akhir untuk pelajar program UiTM di KPTM telah bermula pada 12 Mac 2012 sehingga 31 Mac 2012. Diharapkan semua pelajar dapat menjawab setiap kertas dengan tenang. Kebiasaannya, peperiksaan besar begini mampu menggugat mental kita. Seterusnya akan menyebabkan kegagalan untuk berfikir dengan betul. Akhirnya, gagal untuk menjawab soalan yang diberikan. Ikuti beberapa tips dan panduan menghadapi peperiksaan berikut.

MENGULANGKAJI PELAJARAN:
Tidak dinafikan lagi memang benar, jika kita tidak bersedia kita akan merasa gementar lebih-lebih lagi jika kita belum lagi mengulangkaji pelajaran. Tentu perasaan gementar muncul apabila merasakan ilmu masih belum cukup. Kerana itu kita tidak digalakkan untuk belajar disaat-saat akhir. Pastikan mengulangkaji pelajaran beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Belajar dan fahami, bukan belajar semata-mata untuk menghafal. Gunakan baki hari yang ada untuk menyemak nota-nota kecil untuk menguatkan lagi ingatan anda.

LAKUKAN PERSIAPAN AWAL:
Apa yang akan berlaku jika tiba-tiba ketika menjawab soalan peperiksaan, pen anda habis dakwat? Tentu anda kelam-kabut meminjam dari rakan bukan? Tentu sekali pada ketika itu anda akan merasa gementar, dada anda akan berdebar. Jadi apakah kesannya kepada diri anda? Anda akan “blank”! Perasaan gementar tadi akan mempengaruhi diri membuatkan anda lupa sebentar tentang peperiksaan yang diduduki. Perkara ini perlu dielakkan. Pastikan anda menyediakan alatan yang secukupnya beberapa hari sebelum peperiksaan bermula. Periksa dan pastikan slip peperiksaan ataupun alat-alat yang perlu dibawa ada bersama anda pada malam sebelum peperiksaan bermula. Barulah anda boleh menjawab dengan tenang

TIDUR AWAL DAN REHAT SECUKUPNYA:
Rehat yang secukupnya adalah penting kerana berfikir memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi. Jadi jika tubuh lemah dan tidak bertenaga, keupayaan untuk melontarkan buah fikiran ataupun menjawab soalan peperiksaan akan terjejas. Digalakkan tidur awal. Elakkan dari bersukan sehari sebelum peperiksaan kerana dikhuatiri akan terlalu penat sehingga mengganggu keupayaan untuk menjawab peperiksaan.

SEMAK JADUAL:
Adalah sangat-sangat penting bagi untuk menyemak jadual peperiksaan sebaik mungkin. Jangan tersilap! Ini kerana masalah akan timbul dari segi persediaan untuk menjawab peperiksaan. Kadangkala waktu peperiksaan tidak sama. Bagi mengelakkan kekeliruan dapatkan jadual yang diberi bersama rakan bagi memastikan tidak tersilap.

BERDOA DAN BERTAWAKAL:
Akhir sekali, kita hanya mampu merancang tuhan yang menentukan. Selepas berhempas pulas belajar, apa yang perlu lakukan adalah bertawakal kepada Allah S.W.T dan sentiasa berdoa untuk kejayaan diri. Pastikan mendoakan kejayaan rakan-rakan yang lain juga. Jika tidak mendapat apa yang diinginkan apabila mengambil keputusan nanti, bersyukur sahaja kerana walau apapun keputusannya, ianya adalah anugerah dari Allah S.W.T. Yang penting bagi kita umat Islam adalah jangan buruk sangka pada Allah S.W.T, setiap apa yang Allah S.W.T lakukan kepada kita ada sebabnya. Ada hikmah disetiap kejadian yang berlaku.

"Menjunjung Tinggi Martabat Mahasiswa"